Philosophy


" Change the way you design your world.. "

The Pearl of Heart

~ Lives with a heart full of trust to Allah,
not by living for wealth,
not by living for beauty,
and not by living for complements~

Monday, December 22, 2008

Bismillah...

Modul pertama untuk sem ini telah tamat.. iaitu sistem perut dan usus.. Sekarang ni bermulanya modul kedua, sistem endokrin.. iaitu sistem yang mengawal hormon dalam manusia.. Aku duduk dan termenung.. masih banyak lagi dugaan dan perjalanan yang perlu aku tempuh dalam menguasai ilmu perubatan ini.. Sebagai seorang pelajar perubatan yang menuntut di universiti,jadual harianku bukan sahaja tertakhluk pada waktu untuk menelaah nota-nota kuliah.. tetapi aku juga harus mencari peluang untuk menyertai mana-mana organisasi program yang dianjurkan universiti..ini demi menambah lagi pengalamanku dalam berorganisasi di samping mengumpul mata untuk meraih tempat tinggal di dalam kawasan hospital nanti apabila masuk tahun klinikal.. jika aku memang punyai tempat tinggal berdekatan hospital, aku boleh meluangkan kebanyakan masaku hanya untuk menelaah.. tetapi, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.. berorganisasi itu penting dalam alam pekerjaan nanti..

kadangkala.. kepenatan yang berbukit mula menghalang aku dari meneruskan perjuangan..
kadangkala.. aku seperti orang yang mudah mengalah..
kadangkala.. dan kadangkala..

pelbagai rasa yang x terkata.. tetapi jika difikirkan.. bukan lumrah namanya jika tiada onak dan duri ketika menuntut ilmu.. aku ada matlamat dan aku mesti kuatkan diri untuk capai matlamat itu..

Wahai yang Maha Mendengar lagi Maha mengetahui akan isi hati..
kurniakanlah aku kekuatan luar biasa..agar aku bisa melalui hari-hari mendatang dengan lebih tabah..

Saturday, December 13, 2008

pakaian solat bagi perempuan..

Bismillah..

Assalamu 'alaikum buat teman2..

Hari ini saya ingin berkongsi satu topik menarik yang selalu menjadi persoalan kaum wanita yang masih lagi ragu-ragu dengan syarat pakaian solat.. Semoga perkongsian ini dapat memperbaiki lagi pengetahuan kalian..

***

Perbincangan ini khusus membicarakan syarat-syarat pakaian bagi perempuan apabila mereka hendak mendirikan ibadah solat samada dalam suasana musafir mahupun tidak musafir. Adat kebiasaan Nusantara melihatkan kaum wanita selalu dan hanya selalu memakai set kain putih yang digelar sebagai telekung setiap kali mereka bersolat sehinggakan dianggap bahawa telekung itu adalah jenis pakaian yang wajib bagi seorang wanita untuk mendirikan solat.

Insya-Allah dalam perbincangan ini akan dihuraikan syarat sebenar pakaian solat bagi wanita dan lain-lain hal bertalian dengannya. Diharapkan perbincangan ini akan membawa manfaat apabila dengan tidak sengaja timbulnya suasana yang menjemputnya.

Syarat Pakaian Solat Wanita


Pakaian wanita dalam solat terbahagi kepada dua, pertama yang menutupi kepala sehingga leher dan labuh ke dada manakala yang kedua ialah yang menutupi badan sehingga labuh ke kedua-dua kaki.

Dua hadith di bawah ini dijadikan rujukan oleh para ahli fiqh (imam daud) -

(i) Dari A'isyah radiallahu-anha bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda:

Tidak diterima solat seorang wanita yang telah baligh kecuali dengan memakai kain tudung. (Khimar).

(ii) Ummu Salamah radiallahu-anha berkata bahawa dia pernah bertanya kepada
Rasulullah s.a.w. :

Bolehkah wanita mengerjakan solat dengan memakai pakaian panjang (Dar'u) dan tutup kepala tanpa memakai kain sarung (Izar) ?

Baginda bersabda: Boleh, apabila pakaian panjangnya itu (Dar'u) dapat menutupi kedua telapak kakinya.


Hadith pertama menerangkan bahawa seorang wanita yang hendak bersolat, hendaklah dia memakai kain tudung atau dalam Bhs. Arab adalah Khimar iaitu sehelai kain yang menutupi kepala sehingga ke leher. Ini adalah makna dari segi bahasa, sementara dari segi tuntutan syari'at pula, tudung yang dipakai itu hendaklah dilabuhkan dari kepala sehinggalah ke dada atau lebih sedikit sampai menutupi kawasan dadanya. Ini jelas tertulis dalam al-Qur'anul Karim –

" dan hendaklah mereka menutup bahagian dada mereka dengan tudung kepala mereka."


[surah an-Nur 24 - 31].


Hadith ini juga menunjukkan bahawa memakai tudung adalah syarat sah atau tidak solat seorang wanita itu, difahami melalui lafaz …Tidak diterima solat seorang wanita…… Dari itu jelas hukum fiqh bahawa memakai tudung yang menutupi kepala sehingga ke dada seorang wanita itu adalah merupakan syarat sah solatnya.

Hadith kedua menerangkan bahawa pakaian seorang wanita itu, selain dari tudung kepalanya, hendaklah sesuatu yang panjang sehingga dapat menutup dari leher sehinggalah ke kedua belah tapak kakinya. Dar'u ialah pakaian Arab yang seumpama gaun atau jubah yang dipakai melalui leher dan ianya memanjang sehingga ke betis atau lebih,maka melalui hadith ini Rasulullah s.a.w. mensyaratkan bahawa gaun atau jubah itu haruslah memanjang sehingga menutup kedua tapak kaki wanita.

Dari dua hadith ini jelaslah bahawa pakaian solat seorang wanita itu ialah sesuatu yang dapat menutup dari kepala sehinggalah ke kakinya. Secara minimum ia terdiri dari dua helai kain iaitu yang pertama adalah tudung kepala dan kedua adalah baju panjang. Selain itu boleh memakai lebih dari dua helai kain asal sahaja ia menutup dari kepala hingga ke kaki. Dua bahagian anggota yang terkecuali ialah muka dan tangan dari pergelangan ke bawah di mana ia tidak perlu ditutup.

Ini berdasarkan firman Allah Azza waJalla:

" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya."

[surah an-Nur 24 - 31].

Dari ayat di atas Allah s.w.t melarang kaum wanita daripada memperlihatkan perhiasan tubuh badan mereka kecuali yang zahir darinya. Yang dimaksudkan sebagai zahir ialah sesuatu yang biasa terdedah, selalu dipergunakan untuk kerja harian dan tidak merangsangkan nafsu kaum lelaki secara normal. Anggota-anggota yang zahir ini ditafsirkan sebagai muka dan tangan dari pergelangan hingga ke hujung jari.Walaubagaimanapun ada juga yang berpendapat kedua bahagian ini, samada tangan mahupun muka perlu tetap ditutup.

Jenis Pakaian

Jenis pakaian yang dipakai hendaklah longgar dan labuh yakni tidak menampak bentuk badan wanita tersebut, sekalipun dia merasakan badannya tidak mempunyai bentuk. Ini dapat difahami juga melalui ayat di atas yang melarang kaum wanita memperlihatkan perhiasan tubuh badan mereka. Perhiasan ini ada dua jenis, iaitu perhiasan asli tubuhnya dan kedua ialah perhiasan tambahan seperti rantai, gelang dan sebagainya. Kedua-dua ini tidak boleh diperlihatkan kepada khalayak umum kecuali kepada suaminya dan beberapa ahli keluarga terdekat.

Cara terbaik untuk melindungi perhiasan asli tubuh badan ialah dengan mengenakan pakaian longgar dan labuh dan ini adalah sesuatu yang disepakati tanpa keraguan. Antara tuntutan yang senada ialah memakai pakaian yang tidak nipis sehingga menampakkan warna kulit atau bayangan tubuh badan di sebaliknya. Ini juga termasuk tuntutan menutup aurat wanita.

Daripada dua penjelasan di atas, iaitu syarat pakaian dan jenis pakaian, dapatlah kita ketahui bahawa pakaian yang semestinya dipakai oleh seorang wanita apabila sedang solat atau di luar solat adalah sesuatu yang dapat menutup dirinya dari kepala sehingga ke kaki kecuali muka dan tangan dari pergelangan ke jari-jari. Selain itu pakaian tersebut hendaklah longgar dan labuh, tidak menampakkan bentuk badan ataupun bayangan ataupun warna kulit di sebaliknya. Oleh itu, apa sahaja pakaian yang dapat menepati syarat ini boleh digunakan bagi tujuan mendirikan solat dan urusan harian di luar rumah.

Telekung yang selalu dipakai oleh muslimah di Nusantara ini sangatlah baik kerana ia menepati segala syarat-syarat tersebut tetapi perlu diketahui bahawa telekung bukanlah satu-satunya sahaja yang boleh digunakan untuk bersolat. Dalam erti kata lain,telekung bukanlah syarat wajib solat.

Seperkara lain yang perlu dinyatakan ialah bahawa walaupun muka dan tangan tidak dikategorikan sebagai aurat yang wajib ditutup, kedua bahagian ini amat dituntut agar tidak dihiasi dengan sesuatu yang boleh membawa perhatian atau rangsangan kepada orang lain.


Sebagai tambahan, walaupun muka itu tidak wajib ditutup, ia amat digalak agar diselindungi disebalik kain nipis atau yang seumpama bagi mengelak niat buruk orang-orang lelaki yang rakus sifatnya.Perkara kedua yang perlu dinyatakan di sini ialah syarat pakaian solat sepertimana yang diterangkan di atas adalah wajib dipatuhi oleh seseorang itu samada dia berada dalam suasana orang ramai atau bersendirian. Dalam erti kata lain, sekalipun seorang wanita itu berada berseorangan dalam biliknya, dia tetap wajib menepati syarat-syarat ini sekalipun tiada orang yang melihat.

Ini adalah kerana syarat pakaian solat adalah bagi memenuhi hak dan adab seorang hamba yang sedang beribadah kepada Rabbnya dan ia tidak berhubung-kait dengan adab sesama manusia.
Berbeza pula dalam suasana di luar etika solat, di mana seseorang wanita itu dibolehkan membuka kain tudung atau sebagainya apabila berhadapan dengan suami, ayah sendiri, keluarga terdekat dan seterusnya.

Kesimpulannya..Syarat pakaian solat yang diwajibkan bagi seorang wanita ialah kain tudung yang menutupi dari kepala sehingga ke bawah kawasan dada dan pakaian yang menutupi sehingga kedua tapak kakinya. Selain itu pakaiannya hendaklah longgar da tidak menampakkan bentuk badan atau bayangannya dan tidak nipis sehingga melihatkan warna kulit idsebaliknya.

Perbincangan oleh,
Al-Firdaus.com


***
pakaian dalam solat adalah satu perkara penting dan harus diambil berat.. kerna syarat sah solat bergantung kepadanya.. jadi apabila hendak solat, jangan lupa untuk periksa dulu pakaian termasuklah telekung samada telah cukup syarat ataupun tidak.. =)
sekian..

Saturday, December 6, 2008

Perjalanan menuju Illahi..

Bismillah..

" Ya rabbi,bagi-Mu segala puji seagung kemuliaan wajah-Mu dan kebesaran kekuasaan-Mu.."

"Aku telah redha Allah sebagai Rabbku, dan Islam sebagai agamaku, dan Muhammad sebagai Nabi dan Rasulku.."

Sebagai seorang muslimah, aku juga punyai impian untuk menjadi seorang pembawa Islam yang hebat.. Erti kata lain, pengabdian dirinya kepada Allah sentiasa ada,pengetahuannya tentang Islam tidak terbatas, kebijaksanaannya dalam berkata-kata mampu mempamerkan betapa indahnya Islam, dan hatinya seringkali tidak pernah gentar untuk berdakwah.. sentiasa menjadi sumber sifat mahmudah.. Apabila orang terlihat akannya, mereka merasa tenang dan ingin mendekatkan diri kepada Allah... InsyaAllah..

Ya Allah.. aku benar-benar ingin menjadi hamba yang Engkau kasihi.. hamba yang Engkau cintai..
Aku memohon kepadaMu..bimbinglah aku, didiklah aku.. Agar aku bisa menjadi seorang mukminah yang sejati..
Perkenankanlah d'oa hambaMu ini..

Aku, ibarat kain putih.. dan aku sendiri yang akan mencorakkannya.. Aku mahu kain ini dihiasi lakaran nur keimanan dan ketaqwaan.. Ya Allah, bantulah hambaMu ini.. SesungguhNya Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan Engkaulah yang Maha Bijaksana..

Dari tingkatan 1, aku telah pun didedahkan dengan 'usrah', maknanya 'keluarga' dalam bahasa arab.. Usrah ini bertujuan untuk berkongsi ilmu dan berbicara tentang Islam.. Namun, waktu itu pengisiannya tidak begitu mendalam.. Kerna tiada pantauan daripada orang sepatutnya.. Hanya berbekalkan ilmu Islam yang masih kurang, aku meneruskan hidup sebagai seorang muslimah..

Segala puji bagi Allah, Engkau meletakkan aku di kalangan orang yang mengagungkan agama Mu.. Sewaktu tingkatan 4, aku berpeluang menuntut ilmu di Kolej Islam Sultan Alam Shah.. Salah satu tempat belajar yang menyediakan ruang untuk menimba ilmu Syari'ah Islamiah, ilmu Al Qur'an dan As-sunnah termasuklah ilmu bahasa 'arab.. Aku amat bersyukur, kerna punyai waktu untuk terus mengenal intipati dalam Islam..

Berbekalkan waktu yang hanya 2 tahun, masih tidak cukup untuk aku benar-benar mahir tentang Islam..
Tetapi aku masih bersyukur kerna aku tidak pulang dari bumi barakah itu dengan tangan kosong.. Aku berjaya disulami dengan akhlak mahmudah, walaupun bukan semuanya..

Sewaktu aku di Pusat Asasi Sains UM, aku tidak berkesempatan menyertai usrah. Kerna ia dilakukan secara tersembunyi.. Sehinggalah bila sampai khabar akannya, semuanya terlambat.. Aku telah tamat pengajian di sana..
Hiduplah aku berbekalkan ilmu Islam yang masih kurang..

Aku memilih Universiti Kebangsaan Malaysia untuk belajar ilmu perubatan.. Aku tertarik dengan misinya untuk membina pelajar yang beriman.. Ketika menghadiri kursus pengenalan ilmu perubatan di HUKM, aku kagum dengan para pensyarahnya yang berfikrah Islamik.. Ya, inilah pilihanku.. Markas untuk aku mempersiapkan diri menjadi pejuang.. Dan dunia perubatan ini akan kujadikan ruang dakwahku..

Ketika mula menjejakkan kaki ke tempat ini, aku diperkenalkan dengan usrah yang dianjurkan Badan Dakwah dan Rohani.. Syukur, kerana aku masih boleh memperbaiki ilmu Islam yang aku miliki.. Tetapi, naqibahku juga seorang pelajar.. Usrah ini x akan terlepas dari dugaan waktu.. Masih banyak perkara yang x dapat dibincangkan..

Kemudian, ada seorang sahabat menceritakan tentang Persatuan Jema'ah Islah Malaysia.. Aku tertarik.. Bukankah indah jika hidup kita ini sentiasa ditemani saudara-saudara seIslam yang juga mudah berbicara tentang Islam..
Aku melibatkan diri...Peluang untuk memiliki usrah sendiri tanpa ada penghujung membuatkan aku tidak mahu melepaskannya pergi.. Cukuplah kehilangan yang aku rasai..

Aku berpuas hati dengan misi persatuan ini.. Masih ada yang bersungguh untuk menyebarkan agama Allah.. Keluar berdakwah.. Mengajak pada perkara kebaikan.. Ya, aku juga akan berusaha menjadi seperti mereka.. Persatuan ini menyediakan pelbagai aktiviti untuk memantapkan lagi ilmu tentang Allah.. tentang Rasul-rasul-Nya.. dan tentang Islam itu sendiri..

Segala puji bagi Allah.. aku sangat bersyukur dikurniakan nikmat iman dan Islam.. Engkau bukakanlah pintu hati sahabat-sahabatku yang masih terleka dibuat dunia.. Agar mereka turut sama berusaha mengenaliMu.. dan mencari keredhaanMu..

" Rabbana la-tuzigh qulubana ba'da idh-hadaytana wa-hab lana mil-ladunka rahmatan, innaka antal-wahhab.."
(al 'imran: 8)

Maksudnya : Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi..

Perkenankanlah wahai Yang Maha Mendengar..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails