Philosophy


" Change the way you design your world.. "

The Pearl of Heart

~ Lives with a heart full of trust to Allah,
not by living for wealth,
not by living for beauty,
and not by living for complements~

Saturday, December 13, 2008

pakaian solat bagi perempuan..

Bismillah..

Assalamu 'alaikum buat teman2..

Hari ini saya ingin berkongsi satu topik menarik yang selalu menjadi persoalan kaum wanita yang masih lagi ragu-ragu dengan syarat pakaian solat.. Semoga perkongsian ini dapat memperbaiki lagi pengetahuan kalian..

***

Perbincangan ini khusus membicarakan syarat-syarat pakaian bagi perempuan apabila mereka hendak mendirikan ibadah solat samada dalam suasana musafir mahupun tidak musafir. Adat kebiasaan Nusantara melihatkan kaum wanita selalu dan hanya selalu memakai set kain putih yang digelar sebagai telekung setiap kali mereka bersolat sehinggakan dianggap bahawa telekung itu adalah jenis pakaian yang wajib bagi seorang wanita untuk mendirikan solat.

Insya-Allah dalam perbincangan ini akan dihuraikan syarat sebenar pakaian solat bagi wanita dan lain-lain hal bertalian dengannya. Diharapkan perbincangan ini akan membawa manfaat apabila dengan tidak sengaja timbulnya suasana yang menjemputnya.

Syarat Pakaian Solat Wanita


Pakaian wanita dalam solat terbahagi kepada dua, pertama yang menutupi kepala sehingga leher dan labuh ke dada manakala yang kedua ialah yang menutupi badan sehingga labuh ke kedua-dua kaki.

Dua hadith di bawah ini dijadikan rujukan oleh para ahli fiqh (imam daud) -

(i) Dari A'isyah radiallahu-anha bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda:

Tidak diterima solat seorang wanita yang telah baligh kecuali dengan memakai kain tudung. (Khimar).

(ii) Ummu Salamah radiallahu-anha berkata bahawa dia pernah bertanya kepada
Rasulullah s.a.w. :

Bolehkah wanita mengerjakan solat dengan memakai pakaian panjang (Dar'u) dan tutup kepala tanpa memakai kain sarung (Izar) ?

Baginda bersabda: Boleh, apabila pakaian panjangnya itu (Dar'u) dapat menutupi kedua telapak kakinya.


Hadith pertama menerangkan bahawa seorang wanita yang hendak bersolat, hendaklah dia memakai kain tudung atau dalam Bhs. Arab adalah Khimar iaitu sehelai kain yang menutupi kepala sehingga ke leher. Ini adalah makna dari segi bahasa, sementara dari segi tuntutan syari'at pula, tudung yang dipakai itu hendaklah dilabuhkan dari kepala sehinggalah ke dada atau lebih sedikit sampai menutupi kawasan dadanya. Ini jelas tertulis dalam al-Qur'anul Karim –

" dan hendaklah mereka menutup bahagian dada mereka dengan tudung kepala mereka."


[surah an-Nur 24 - 31].


Hadith ini juga menunjukkan bahawa memakai tudung adalah syarat sah atau tidak solat seorang wanita itu, difahami melalui lafaz …Tidak diterima solat seorang wanita…… Dari itu jelas hukum fiqh bahawa memakai tudung yang menutupi kepala sehingga ke dada seorang wanita itu adalah merupakan syarat sah solatnya.

Hadith kedua menerangkan bahawa pakaian seorang wanita itu, selain dari tudung kepalanya, hendaklah sesuatu yang panjang sehingga dapat menutup dari leher sehinggalah ke kedua belah tapak kakinya. Dar'u ialah pakaian Arab yang seumpama gaun atau jubah yang dipakai melalui leher dan ianya memanjang sehingga ke betis atau lebih,maka melalui hadith ini Rasulullah s.a.w. mensyaratkan bahawa gaun atau jubah itu haruslah memanjang sehingga menutup kedua tapak kaki wanita.

Dari dua hadith ini jelaslah bahawa pakaian solat seorang wanita itu ialah sesuatu yang dapat menutup dari kepala sehinggalah ke kakinya. Secara minimum ia terdiri dari dua helai kain iaitu yang pertama adalah tudung kepala dan kedua adalah baju panjang. Selain itu boleh memakai lebih dari dua helai kain asal sahaja ia menutup dari kepala hingga ke kaki. Dua bahagian anggota yang terkecuali ialah muka dan tangan dari pergelangan ke bawah di mana ia tidak perlu ditutup.

Ini berdasarkan firman Allah Azza waJalla:

" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya."

[surah an-Nur 24 - 31].

Dari ayat di atas Allah s.w.t melarang kaum wanita daripada memperlihatkan perhiasan tubuh badan mereka kecuali yang zahir darinya. Yang dimaksudkan sebagai zahir ialah sesuatu yang biasa terdedah, selalu dipergunakan untuk kerja harian dan tidak merangsangkan nafsu kaum lelaki secara normal. Anggota-anggota yang zahir ini ditafsirkan sebagai muka dan tangan dari pergelangan hingga ke hujung jari.Walaubagaimanapun ada juga yang berpendapat kedua bahagian ini, samada tangan mahupun muka perlu tetap ditutup.

Jenis Pakaian

Jenis pakaian yang dipakai hendaklah longgar dan labuh yakni tidak menampak bentuk badan wanita tersebut, sekalipun dia merasakan badannya tidak mempunyai bentuk. Ini dapat difahami juga melalui ayat di atas yang melarang kaum wanita memperlihatkan perhiasan tubuh badan mereka. Perhiasan ini ada dua jenis, iaitu perhiasan asli tubuhnya dan kedua ialah perhiasan tambahan seperti rantai, gelang dan sebagainya. Kedua-dua ini tidak boleh diperlihatkan kepada khalayak umum kecuali kepada suaminya dan beberapa ahli keluarga terdekat.

Cara terbaik untuk melindungi perhiasan asli tubuh badan ialah dengan mengenakan pakaian longgar dan labuh dan ini adalah sesuatu yang disepakati tanpa keraguan. Antara tuntutan yang senada ialah memakai pakaian yang tidak nipis sehingga menampakkan warna kulit atau bayangan tubuh badan di sebaliknya. Ini juga termasuk tuntutan menutup aurat wanita.

Daripada dua penjelasan di atas, iaitu syarat pakaian dan jenis pakaian, dapatlah kita ketahui bahawa pakaian yang semestinya dipakai oleh seorang wanita apabila sedang solat atau di luar solat adalah sesuatu yang dapat menutup dirinya dari kepala sehingga ke kaki kecuali muka dan tangan dari pergelangan ke jari-jari. Selain itu pakaian tersebut hendaklah longgar dan labuh, tidak menampakkan bentuk badan ataupun bayangan ataupun warna kulit di sebaliknya. Oleh itu, apa sahaja pakaian yang dapat menepati syarat ini boleh digunakan bagi tujuan mendirikan solat dan urusan harian di luar rumah.

Telekung yang selalu dipakai oleh muslimah di Nusantara ini sangatlah baik kerana ia menepati segala syarat-syarat tersebut tetapi perlu diketahui bahawa telekung bukanlah satu-satunya sahaja yang boleh digunakan untuk bersolat. Dalam erti kata lain,telekung bukanlah syarat wajib solat.

Seperkara lain yang perlu dinyatakan ialah bahawa walaupun muka dan tangan tidak dikategorikan sebagai aurat yang wajib ditutup, kedua bahagian ini amat dituntut agar tidak dihiasi dengan sesuatu yang boleh membawa perhatian atau rangsangan kepada orang lain.


Sebagai tambahan, walaupun muka itu tidak wajib ditutup, ia amat digalak agar diselindungi disebalik kain nipis atau yang seumpama bagi mengelak niat buruk orang-orang lelaki yang rakus sifatnya.Perkara kedua yang perlu dinyatakan di sini ialah syarat pakaian solat sepertimana yang diterangkan di atas adalah wajib dipatuhi oleh seseorang itu samada dia berada dalam suasana orang ramai atau bersendirian. Dalam erti kata lain, sekalipun seorang wanita itu berada berseorangan dalam biliknya, dia tetap wajib menepati syarat-syarat ini sekalipun tiada orang yang melihat.

Ini adalah kerana syarat pakaian solat adalah bagi memenuhi hak dan adab seorang hamba yang sedang beribadah kepada Rabbnya dan ia tidak berhubung-kait dengan adab sesama manusia.
Berbeza pula dalam suasana di luar etika solat, di mana seseorang wanita itu dibolehkan membuka kain tudung atau sebagainya apabila berhadapan dengan suami, ayah sendiri, keluarga terdekat dan seterusnya.

Kesimpulannya..Syarat pakaian solat yang diwajibkan bagi seorang wanita ialah kain tudung yang menutupi dari kepala sehingga ke bawah kawasan dada dan pakaian yang menutupi sehingga kedua tapak kakinya. Selain itu pakaiannya hendaklah longgar da tidak menampakkan bentuk badan atau bayangannya dan tidak nipis sehingga melihatkan warna kulit idsebaliknya.

Perbincangan oleh,
Al-Firdaus.com


***
pakaian dalam solat adalah satu perkara penting dan harus diambil berat.. kerna syarat sah solat bergantung kepadanya.. jadi apabila hendak solat, jangan lupa untuk periksa dulu pakaian termasuklah telekung samada telah cukup syarat ataupun tidak.. =)
sekian..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails